Sila Klik Nuffnang

Wednesday 23 January 2013

Menjunjung Sirah Nabi Muhammad SAW

Setiap tahun tanggal 12 Rabiul Awal akan menjadi satu tarikh yang sentiasa di tunggu-tunggu oleh umat Islam termasuklah di bumi Malaysia ini. Walaupun Malaysia merupakan sebuah Negara yang berbilang kaum dan agama, penghormatan yang diberikan pada tarikh kelahiran kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad SAW tidak sesekali berbelah bahagi.


Tarikh inilah bermulanya sebuah sirah seorang insan yang dimuliakan oleh seluruh umat manusia yang beriman akan utusan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Namun harus diingat, ini bukanlah satu-satu sirah insan teragung yang perlu dicatit di dalam catatan kita sebagai hamba yang mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT.

Sirah Rasulullah SAW sebenarnya merangkumi begitu banyak aspek. Ianya termasuklah perihal kelahiran dan kehidupan Baginda, perbuatan seharian (yang banyak dirakam di dalam kitab Syamail Muhammadiyah), kerasulan Baginda juga adalah sejarah, pentadbiran sesebuah Negara, dakwah, tarbiyah hatta kepada mukjizat dan irhas Baginda juga adalah sejarah untuk diteladani oleh umatnya. Firman Allah SWT:

(Surah Al-Ahzab 33:21)

Di dalam ayat di atas Allah SWT telah menegaskan bahawa Nabi dan Rasul terakhir ini memilik seluruh sifat dan suri tauladan yang sempurna sebagai guideline umat Islam. Penulis hari ini berminat untuk berkongsi sesuatu yang mungkin ada di antara kita tidak pernah tahu, atau mungkin tahu tetapi tidak merasakan apa-apa atau juga sememangnya arif tentang suatu jenis sirah di dalam diri Rasulullah SAW. Perkara yang dimaksudkan itu ialah "irhas".

Pengertian dan Peristiwa Menjelaskan 'Irhas'

Ada pun irhas ini adalah suatu perkara yang hampir sama seperti mana kurniaan mukjizat ke atas Nabi SAW. Tetapi dari sudut ilmiah, irhas merupakan suatu sirah berbeza yang mana ianya terhasil daripada situasi yang berbeza juga. Mukjizat ialah perkara ajaib yang berlaku di sepanjang kerasulan Baginda, manakala irhas pula ialah perkara ajaib yang berlaku sebelum kerasulan Baginda.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perihal irhas ini di dalam Surah Al-Fil. Kisah peristiwa kemusnahan tentera bergajah abrahah ini dikaitkan semasa tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW yang disifatkan sebagai irhas kemunculan seorang utusan Allah yang akan menjadi penghalang kemusnahan Kaabah di Mekah. (Al-Rahiq al-Makhtum)

Di kalangan ulama' hadith pula seperti Imam Al-Baihaqi dan Imam Abu Nuaim al-Asbahani telah mengarang kitab yang khusus bagi menghimpunkan hadith-hadith berkaitan dalil kerasulan Baginda SAW seperti kitab Dala'il al-Nubuwwah. Antara irhas yang dirakamkan ialah:

i. Pada malam kelahiran Nabi, istana maharaja Rom bergegar dan sebanyak 14 buah anjungnya runtuh.

ii. Api sembahan orang majusi di Parsi tiba-tiba terpadam sedangkan ia tidak pernah padam selama 1000 tahun.

Kedua-dua peristiwa di atas dikatakan seolah-olah memberi gambaran bahawa kelahiran Nabi Muhammad SAW akan menghapuskan dua agama besar duni pada waktu itu.

Imam Ibn Kathir juga ada menyebut sebuah riwayat menarik tentang keadaan Baginda SAW semasa bayi. Menurut kebiasaan masyarakat Quraisy, bayi yang baru dilahirkan akan diberikan kepada kaum wanita Quraisy untuk satu upacara tradisi. Dalam upacara tersebut, bayi akan ditutup dengan sejenis pasu hingga ke pagi. Menjelang pagi, datuk Baginda, Abdul Mutalib pergi melihat keadaan Nabi SAW yang dijaga oleh seorang wanita Quraisy. Wanita tersebut berkata:

"Kami tidak pernah melihat keadaan sebagaimana yang berlaku kepada bayi ini. Pada waktu pada ketika melihat bayi ini, kami dapati pasu yang menutupnya telah terbelah dua dan matanya terbuka melihat langit." (Al-Sirah al-Nabawiyyah ki al-Imam Ibn Kathir).

Satu lagi peristiwa irhas yang berlaku ketika Nabi Muhammad SAW kecil, Baginda pernah didatangi oleh dua malaikat yang membelah dada Baginda. Kedua-dua malaikat itu juga telah mengeluarkan hati Baginda, membersihkannya serta memasukkan ke dalamnya iman kepada Allah SWT. (Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim dan Sunan al-Darimi).

Mempelajari Sirah Rasulullah SAW

Satu syarat untuk menjunjung sirah Rasulullah SAW ialah tidak lain dengan mempelajarinya tanpa pernah berhenti. Carilah dimana sahaja sumber yang sahih untuk kita ambil intipati sirah ini sebagai panduan hidup sebagai umatnya. Bukalah kitab-kitab yang banyak menulis mengenai sirah Baginda agar jiwa dan minda kita sentiasa terkesan dengan pengajaran kisah-kisah itu.

Antara kitab yang penulis sarankan untuk dimiliki oleh setiap umat Islam ialah Syamail Muhammadiyah. Kitab ini mencatit hadith-hadith Baginda sama ada melalui perbuatan dan pertuturan untuk dijadikan contoh sempurna seorang pesuruh Allah. Lebih sempurna jika kitab ini dipelajari dengan talaqqi bersama guru-guru yang memilik sanadnya.



Di Surau Wahbah Al-Zuhaily pula, 2 kali bagi setiap bulan akan diadakan kuliah maghrib bagi kitab Fiqh Sirah. Kuliah ini amat konsisten serta jarang dibatalkan. Kitab ini banyak mengisahkan kepentingan pelajaran sirah itu. Hadirlah pada setiap hari Isnin pertama dan ketiga setiap bulan untuk mengikutinya.


Sempena bulan Maulid yang disebut-sebut oleh kita pada ketika ini, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran yang sebenarnya tentang sirah kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW sehingga kewafatan Baginda. Pupuklah semangat untuk terus menimba ilmu termasuklah berkenaan sirah Baginda yang sangat luas ini. Semoga kita akan dikurniakan syafaat Nabi SAW yang berkekalan ketika Hari Kebangkitan nanti. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment